JANUARI 2024

Lantikan TYT Baharu Kuasa Mutlak Yang Di-Pertuan Agong - Premier


KUCHING: Kuasa mutlak untuk melantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Demikian menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari  Tun Openg ketika diminta mengulas berhubung spekulasi pelantikan Yang di-Pertua Negeri baharu bagi menggantikan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Abang Johari bagaimanapun enggan menggulas lanjut berhubung perkara itu semasa Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort hari ini.

Pada Jumaat, sebuah portal berita mendedahkan bahawa Speaker Dewan Negara Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah meletak jawatan kerana bakal dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak seterusnya.

Sementara itu, dalam program berlainan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, tempoh perkhidmatan Yang di-Pertua Negeri yang disandang Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bakal berakhir tidak lama lagi. 

"Sama ada akan dilanjutkan atau tidak terpulang kepada cadangan daripada negeri dan juga Yang di-Pertuan Agong dan Persidangan Raja-raja yang akan menentukan semua ini," katanya semasa ditemui media selepas Majlis Perasmian Bilik Pameran Kawasaki Kuching petang tadi.

Sumber dari : Jiwa Bakti